
Kemarahan telah tersimpan terlalu lama, semakin hari semakin banyak. Sampai malam itu, emosi aku terhilang kawalan, kesemuanya terlepas seperti letupan gunung berapi. Dalam realiti, angin aku tidak stabil; dalam dunia maya, perkataan aku sungguh biadap, sangat garang. Tercetusnya pertelingkahan lidah antara kawan-kawanku dengan aku. Ada yang memang bersalah, ada yang tidak berdosa. Namun, api kemarahan aku membakar dengan marak, begitu maraknya sehingga terbakar segalanya yang menghampiri aku.
Sepanjang ini, aku telah mencuba sedaya upaya aku untuk menjadi seorang yang baik. Mengikut kesemua yang telah disuruh dalam ajaran agama, mematuhi segalanya yang dididik oleh ibu bapa kepada aku semenjak kecil lagi, tetapi kesemuanya itu satu penipuan! Ajaran agama hanya menyuruh aku mesra melayan orang lain, tidak mengajarku untuk melindungi diriku daripada kekejaman orang lain terhadap aku; ibu bapa hanya mendidik aku berbudi bahasa, tidak memberitahuku cara menghadapi kebiadapan orang lain. Aku terperangkap dalam satu penipuan besar lagi kejam!
Budi bahasa itu,
Hanya alasan orang berkuasa untuk mengongkong insan yang daif;
Peraturan budaya itu,
Hanya peralatan orang angkuh untuk menindas insan masih bermimpi.
Sejak di bangku sekolah lagi diasuh selalu menjaga perasaan orang lain, berfikir bijak sebelum berucap, jangan sesekali mencederakan orang lain.

Namun semakin mencapai zaman dewasa, baru ku menyedari bahawa itu penipuan! Aku membaca Sejarah, mendapati cara berjaya itu, bukanlah berbudi bahasa, sebaliknya kekerasan dan konsep mementingkan diri! Pejuang-pejuang "keadilan" itu, apakah akibat mereka? Adakah mereka telah berjaya? Tidak! Mereka ditindas, dengan begitu kejamnya, oleh orang berkuasa, yang keras hatinya, yang tidak mengetahui erti belas kasihan!
Kata ibu bapa, dan ajaran agama, serta buku teks Pendidikan Moral, meminta kita menjaga perasaan orang lain. Aku dengan daifnya, mempercayai segalanya itu yang merupakan penipuan!
Kenapa?
Orang biadap, hormat orang lain diberikan kepadanya?
Kenapa?
Insan kejam, semua kehendaknya dapat tercapai?
Kenapa?
Makhluk yang bercakap sesuka hati, keinginannya dapat dipenuhi?
Kenapa?
Individu yang bersikap kacang lupakan kulitnya, impiannya dapat direalisasikan?
Aku memilih untuk menyimpan kesemuanya ke dalam hatiku, keranaku tidak sampai hati melihat hati lain terguris, perasaan lain tersinggung. Apa salahnya telah aku lakukan? Apakah balasan aku? Orang membuli aku, segalanya yang aku sayangi dirampas orang lain. Yang tertinggalnya, hanya ais kesepian dan api dendaman.
Pada malam ini yang menemani aku, hanya angin sejuk sepoi-sepoi bahasa, hatiku yang tercedera, yang dibiarkan berdarah sehingga titisan terakhir, dan api dendaman yang boleh dipadamkan oleh darah tumpahan musuhku sahaja...