Masih dalam proses mengulang kaji untuk peperiksaan yang akan datang tidak lama lagi pada hari Isnin. Namun gangguan Wifi telah menyebabkan pengulangkajian saya terpengaruhi. Sebelum kemudahan Wifi diberhentikan, saya dapat melayari internet untuk mencari jawapan kepada persoalan saya. Namun sekarang saya terpaksa mencari buku-buku lain atau bertanya kepada orang lain untuk mendapat jawapan.
Memang hari ini jadual masa saya telah dipenuhi dengan 'sesi-sesi' pengulangkajian sahaja, selain makan dan tidur. Saya tidak suka peperiksaan, kerana penyediaannya sungguh menyeksakan. Setiap malam perlu mengulang kaji sampai larut malam, selepas tidur untuk hanya beberapa jam, saya perlu bangun sangat awal untuk meneruskan 'perjuangan' saya.
Namun terdapat satu pengecualian yang amat saya sukai semasa musim peperiksaan, iaitu saya tidak lagi perlu bangun awal setiap hari untuk menghadiri perhimpunan kerana perhimpunan dibatalkan pada musim peperiksaan! Selain itu, masa manis datang selepas peperiksaan berakhir kerana masa itu ialah masa cuti penggal persekolahan yang lama ditunggu oleh hampir setiap pelajar!
Peperiksaan bukan sahaja menguji hasil pembelajaran saya, tetapi juga mengajar saya beberapa nilai dalam kehidupan. Peperiksaan mengajar saya bahawa setiap pengorbanan itu mesti ada buah hasilnya. Saya juga mempelajari bahawa kebahagiaan mesti datang selepas kita telah tabah mengharungi cabaran hidup.
Baiklah, di sinilah patut saya berhenti menulis, terus mengulang kaji supaya dapat berjaya menjawab soalan-soalan peperiksaan. :P
No comments:
Post a Comment